Rabies ragut dua nyawa lagi di Sarawak, dua kes pertama tahun ini

Poster kesedaran rabies. Ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia

PUTRAJAYA, 13 Mac: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat dua kes kematian akibat jangkitan wabak rabies berlaku di Sarawak melibatkan bahagian Sibu dan Kuching.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes rabies pertama pada tahun ini melibatkan seorang lelaki berumur 52 tahun dari Sibu yang di sahkan meninggal dunia pada 8 Februari lalu.

“Ketika siasatan kes, mangsa menafikan mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh anjing atau haiwan mamalia lain.


“Namun, beliau pernah menangkap dan membunuh seekor anjing peliharaan di kawasan rumah pekerja kilangnya pada 17 Oktober, 2020 selepas anjing ini mengigit dua orang pekerja di situ.

“Bagaimanapun, bangkai anjing tersebut tidak diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa mula mendapatkan rawatan dan di masukan ke wad di Hospital Sibu pada 31 Januari lalu selepas mengalami gejala sakit dada, kebas di bahagian tangan kanan, muntah serta sesak nafas.

Katanya, keadaan kesihatan mangsa merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 5 Februari, 2021 sebelum disahkan meninggal pada 8 Februari.

Jelas beliau, diagnosa mangsa disahkan positif rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 6 Februari lalu.

“Sementara itu, dua pekerja yang telah digigit oleh anjing tersebut telah mendapatkan rawatan awal dan kini masih dalam pemantauan susulan oleh pihak kesihatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes kedua pula melibatkan seorang mangsa berusia 54 tahun yang dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit di seluruh badan, demam, mual serta tiada selera makan.

Katanya, mangsa disahkan meningal dunia pada 7 Mac lalu selepas keadaan kesihatannya merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Berdasarkan sejarah yang diberikan, mangsa pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada 26 Disember, 2020 di bahagian dada kanan semasa mengendalikan anjing tersebut.

“Pada hari yang sama, anjing terbabit telah diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dihapuskan tetapi tiada sampel untuk ujian rabies yang diam selain mangsa juga tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing peliharaannya itu,” katanya.

Ujar Dr Noor Hisham, pertambahan dua kes baharu tersebut dan yang pertama pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai, 2017 adalah 33 kes dengan 31 kematian.

“Hanya terdapat dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal,” katanya. — DayakDaily