Kerja baik pulih, naik taraf Jalan Pesisir Batang Sadong siap Okt 2021

Awang Tengah (dua dari kiri) dan Julaihi (empat dari kiri) pada lawatan ke tapak kerja baik pulih dan naik taraf Jalan Pesisir Batang Sadong hari ini (13 Mac, 2021).

Oleh Chris Bishop

SADONG JAYA, 13 Mac: Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf jalan dari Batang Sadong menuju ke Jambatan Batang Sadong sepanjang 8 km telah bermula dan dijangka siap pada Oktober 2021, kata Menteri Muda Jalan Persisir Datuk Julaihi Narawi.

Katanya, kerja Pakej PA-3 itu melibatkan kos RM9 juta dan merupakan salah satu daripada tiga komponen Projek Jalan Pesisir.

“Ini adalah komponen ketiga Projek Jalan Pesisir sebab komponen pertama ialah kita membina jambatan untuk mengantikan perkhidmatan feri dan kedua adalah kita bina jalan ‘missing link’.

“Terdapat tiga jalan baharu ataupun missing link, iaitu Jalan Pasi menuju Tanjung Manis termasuk pembinaan Jambatan Batang Rajang.

“Jalan Kampung Jepak Bintulu termasuk jambatan di Kuala Kemena, Jambatan Batang Samarahan menuju ke Sejingkat termasuk Jambatan Sungai Sarawak.

“Satu lagi jalan pesisir ialah dari Bako sehingga ke Buntal,” katanya pada sidang media selesai lawatan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ke projek tersebut.

Terdahulu Awang Tengah melakukan lawatan ke Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Pendam di Sadong Jaya.

Menurut Julaihi, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf dibahagi kepada lebih 23 pakej dengan panjang keseluruhan ialah 321 km daripada 896 km jarak keseluruhan Projek Jalan Pesisir.

Pada sidang media itu, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa lawatan diadakan disebabkan pilihanraya sudah hampir tiba.

“Ini adalah kerja-kerja yang berterusan, ada orang kata kalau kita buat tinjauan pilihanraya sudah dekat.

“Saya ingin nyatakan bahawa ini bukan gula-gula pilihanraya, sebab jalan pesisir adalah projek berterusan yang telah dirancang oleh kerajaan,” kata Julaihi. — DayakDaily