Awang Tengah: SPK Pendam, Sadong Jaya siap April 2021

Awang Tengah (empat dari kanan) pada lawatan ke tapak SPK Pendam di Sadong Jaya hari ini (13 Mac, 2021).

Oleh Chris Bishop

SADONG JAYA, 13 Mac: Projek pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Pendam, Sadong Jaya dengan kos RM34 juta akan siap sepenuhnya pada 5 April, 2021.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, walaupun pelaksanaannya sedikit lewat, namun pihak kontraktor telah diarah untuk menyiapkannya mengikut jadual.


“Kita sedari bahawa kelewatan adalah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan telah menyebabkan kita mengambil keputusan untuk meminda tarikh siap kepada 5 April.

“Pihak kontraktor harus melaksanakannya dengan segera dan kita tidak mahu ada lagi tempoh tambahan,” katanya pada lawatan ke SPK Pendam di sini, hari ini.

Tambah Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, permohonan untuk menyertai SPK Pendam telah pun dibuka pada 12 Mac lepas dan keutamaan diberikan kepada penduduk di kampung tersebut.

Katanya, keutamaan juga diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak memiliki tanah untuk membina rumah.

Ujar beliau lagi, pelaksanaan SKP Pendam, Sadong Jaya adalah mengikut spesifikasi baharu dengan tanah akan terlebih dahulu ditembok selain menggunakan sistem perparitan konkrit manakala jalan akan diturap.

“Kos pelaksanaan agak tinggi dimana setiap lot adalah lebih RM119,000 dengan jumlah luas keseluruhannya adalah 64 ekar.

“Dan kerajaan cuma mengenakan premium tidak melebihi RM2,500 yang boleh dibayar secara ansuran,” ujar Awang Tengah.

Dalam pada itu, beliau juga berkata bahawa kerajaan akan mewujudkan industri kotej di SPK Pendam agar mesyarakat sekitarnya terlibat dalam perniagaan kecil dan sederhana.

Jelas Awang Tengah, SPK Pendam, Sadong Jaya bakal dilengkapi dengan kemudahan surau, dewan dan padang termasuk padang bolasepak.

Turut hadir Menteri Muda Jalan Persisir Datuk Julaihi Narawi, Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan Adun Simunjan Awla Dris. — DayakDaily