Projek Jambatan Batang Lupar tetap dilaksanakan, kata Julaihi

Datuk Julaihi Narawi

SEBUYAU, Ogos 13: Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar tetap akan dilaksanakan dengan menggunakan dana kerajaan negeri meskipun sekiranya kerajaan persekutuan tidak meneruskan hasrat untuk membiayai 50 peratus daripada kos keseluruhan projek tersebut.

Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, sebelum ini projek pembinaan jambatan ini telah diluluskan secara perkongsian kos antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Menurutnya, buat masa ini kerajaan negeri masih menunggu maklum balas daripada kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) berhubung perkara itu.


“Sekiranya, kerajaan PH tidak jadi menyalurkan peruntukan 50 peratus daripada kos pembinaan jambatan tersebut, maka kerajaan negeri tiada pilihan lain untuk meneruskan projek Jambatan Batang Lupar ini kerana ia merupakan amanah yang perlu ditunaikan bagi rakyat Sarawak.

“Pada masa sama, kerajaan negeri masih berharap kerajaan pusat dapat meneruskan perkongsian dana ini dalam pembinaan jambatan yang bakal menjadi laluan alternatif kepada rakyat Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pembinaan Jambatan Batang Lupar merupakan satu contoh hubungan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam projek pembangunan.

Kerajaan negeri akan membiayai 50 peratus kos pembinaan jambatan ini, manakala kerajaan pusat akan menanggung 50 peratus lagi.

Jika dibina, Jambatan Batang Lupar akan menjadi jambatan terpanjang di Sarawak iaitu kira-kira 4.5 hingga 5 kilometer.

Kos asal pembinaan Jambatan Batang Lupar dianggarkan RM400 juta tetapi kini meningkat kepada RM1 bilion selepas dikaji semula.

Pada masa yang sama terdapat beberapa projek pembinaan jambatan dalam pakej yang dibiayai kerajaan negeri tetap diteruskan seperti yang dirancang.

Projek tersebut ialah Jambatan Krian, Saribas Muara Lassa, Kuala Paloh dan Batang Rajang. — DayakDaily