Gara-gara panjat pagar CIQ Tedungan, warga Brunei ditahan

Royal Malaysia Police logo

LIMBANG, Ogos 13: Gara-gara memanjat pagar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tedungan di sini, seorang lelaki warga Brunei diberkas oleh pihak berkuasa.

Lelaki berumur 35 tahun tersebut ditahan kerana memanjat pagar dan menceroboh masuk CIQ berkenaan kira-kira pukul 1.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Mohd Bukhori Saffai berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai berbuat demikian selepas gagal pulang ke negaranya selepas operasi CIQ itu ditutup pada pukul 12 tengah malam.


Katanya, pada mulanya suspek bersama rakannya dengan menaiki sebuah kereta ingin pulang ke Brunei, namun tidak dibenarkan masuk disebabkan operasi CIQ berkenaan sudah tidak beroperasi selepas tengah malam.

“Rakan suspek dikatakan tidur di dalam kenderaan itu untuk menunggu operasi CIQ dibuka semula pada keesokan paginya tanpa menyedari suspek nekad untuk memanjat pagar CIQ tersebut.

“Bagaimanapun, tindakan suspek menceroboh masuk ke kawasan CIQ itu disedari pasukan keselamatan yang bertugas yang kemudian menahan lelaki berkenaan,” katanya hari ini.

Mohd Bukhori menambah, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, proses memohon tahanan reman ke atas suspek sudah dibuat untuk siasatan lanjut. — DayakDaily