Program Jualan Kembali Ke Sekolah bantu rangsang ekonomi domestik

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA, 23 Dis: Program Jualan Kembali Kesekolah menjadi antara kaedah bersesuaian dalam meransang ekonomi domestik yang sedikit suram susulan penularan Pandemik Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa sama, inisiatif tersebut dapat membantu pengguna khususnya ibu bapa untuk mendapatkan keperluan persekolahan anak mereka.

Katanya, menerusi kempen itu, semua pasaraya dan pengeluar kelengkapan persekolahan digalak untuk menawarkan potongan harga melalui pemohonan jualan murah atau penurunan harga.

“Untuk itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah memudahkan proses pemohon jualan murah kepada peniaga.

“Pada ketika ini peniaga hanya perlu mengemukakan notis jualan murah secara atas talian melalui aplikasi My Sales Tracker dan dalam tempoh 24 jam pemohonan dikemukakan peniaga boleh membuat jualan murah,” katanya ketika berucap melancarkan Program Jualan Kembali ke Sekolah di sini hari ini.

Nanta berkata, program tersebut yang mula dilaksanakan sejak 2011 terus mendapat kerjasa dan sokongan sektor peruncitan seperti pasaraya besar, pasaraya dan pengeluar barangan kelengkapan persekolahan.

Malah sektor tersebut turut memasukan kempen tersebut dalam kalender jualan sebagai salah satu acara tahunan sektor tersebut.

“Saya difahamkan sesi persekolahan akan bermula pada 20 Januari ini dan dengan adanya kempen seperti ini, ia di harap dapat membantu pengguna khususnya ibu bapa untuk membeli kelengkapan persekolahan anak mereka.

“Saya juga berharap kerjasama seperti ini dengan sektor peruncitan dan pengeluar kelengkapan persekolahan akan dapat diteruskan bagi memberi faedah kepada pengguna terutama bagi golongan ibu bapa yang terkesan secara langsung atau tidak akibat Covid-19 dan dalam masa yang sama perlu menyiapkan keperluan serta peralatan persekolahan anak-anak,” katanya. — DayakDaily