14 suspek ditahan dalam tiga operasi berasingan

Beberapa spesis haiwan terancam yang dirampas dalam operasi bersepadu PGA dan SFC di Kuching.

KUCHING, 23 Dis: Empat belas suspek termasuk 11 rakyat warganegara Indonesia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam tiga operasi berbeza pada 21 dan 22 Disember lalu.

Menurut Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata, satu tangkapan dilakukan menerusi operasi bersepadu bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) manakala selebihnya menerusi Ops Benteng Covid-19.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di sekitar kawasan Kuching yang disyaki memiliki haiwan terlindung tanpa permit yang sah.


“Hasil pemeriksaan lanjut telah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sebanyak lapan ekor burung kakak tua pelbagai spesis, empat ekor itik spesis Whistling, dan empat ekor ayam spesis Ring Necked Pheasent. Kesemua haiwan tersebut adalah merupakan spesis yang dilindungi dan dipercayai diimport dari luar negara.

“Anggaran jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM 303,000,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak SFC Bahagian Kuching untuk tindakan dan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Sarawak Wildlife Protection Ordinan 1998.

Mancha berkata, tangkapan kedua pula melibatkan seorang warga tempatan dan enam warga asing dipercayai warga Indonesia ketika cuba memasuki negeri ini secara haram.

Enam Pati yang ditahan ketika cuba memasuki Sarawak secara haram.

Katanya, kesemua suspek terbabit ditahan sekitar jam 7 malam dekat kampung sungai Aping, Serian.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kesemua warga asing terbabit mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Tangkapan dan rampasan iaitu kenderaan milik warga tempatan terbabit diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan dan siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

Tambah Mancha, bagi kes ketiga, enam suspek ditahan disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan barang keperluan harian belum lulus cukai Kastam ketika pasukanya sedang melakukan rondaan keselamatan di sekitar kawasan Kampung Raso, Lundu.

Katanya, lima dari pada suspek terbabit ditahan sekitar jam 7.00 bersama tiga kenderaan yang cuba masuk ke Indonesia dari Malaysia.

Anggota PGA Briged Sarawak memeriksa kenderaan yang disyaki cuba menyeludup barangan belum lulus cukai kastam ke negara jiran.

“Semasa pemeriksaan sedang dijalankan, telah datang satu (1) orang lelaki warga tempatan cuba memujuk supaya dilepaskan. Lelaki tersebut telah menawarkan wang sebanyak RM1,850 kepada Ketua Serbuan walaupun amaran telah diberikan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,034,482 merangkumi nilai rampasan barangan yang cuba di seludup, tiga buah kenderaaan yang digunakan oleh suspek terbabit serta wang yang digunakan dalam cubaan memberikan suapan kepada pegawai serta anggota kita (PGA Briged Sarawak),” tambahnya.

Sementara itu Mancha berkata, sehingga 22 Disember lalu, PGA Briged Sarawak telah mencatatkan kejayaan bernilai RM38,152,622 dengan 162 kes melibatkan 453 tangkapan.

Daripada jumlah itu, 197 tangkapan merupakan warganegara tempatan manakala 256 tangkapan lagi melibatkan pendatang tanpa izin (Pati)

“Statistik kejaaan ini merangkumi kejayaan kes tolak rasuah bernilai RM 57,850 dengan merekodkan sebanyak 11 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 12 orang iaitu sembilan warga tempatan dan tiga pendatang tanpa izin,” jelasnya. — DayakDaily