Polis tumpaskan sindiket edar dadah guna tong gas

Tong gas yang diubahsuai untuk menyimpan dadah.

Oleh DayakDaily Team

KUCHING,19 Mac: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 21.7 kilogram pada 17 Mac lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Dato’ Khaw Kok Chin berkata dadah tersebut yang dianggarkan bernilai lebih RM700,000 dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Miri.


Katanya, seramai enam suspek termasuk dua wanita berusia dalam lingkungan 28 hingga 50 tahun ditangkap dalam operasi tersebut.

“Dalam operasi ini, JSJN merampas dadah jenis syabu seberat 21,700 gram yang dianggarkan bernilai RM716,100.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia dan mengubahsuai tong gas serta memasukan dadah ke dalamnya untuk dihantar ke lokasi lain,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Dedah beliau, dipercayai tong gas yang berisi dadah tersebut akan dihantar ke negara jiran.

Kesemua dadah tersebut dirampas dan keenam-enam suspek juga ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Turut dirampas daripada suspek ialah wang tunai berjumlah RM52,000, barang kemas dan empat buat kenderaan dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah mencecah RM1.02 juta.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan.

“JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka dan maklumat boleh disalurkan melalui talian 012-2087222,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata. — DayakDaily