Polis tahan penganggur disyaki pecah rumah, jejak dua rakan sejenayah

Dua suspek (berjalan dihadapan berbaju merah dan biru) dibawa ke balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut

MIRI, 18 Feb : Polis pada malam Rabu (17 Feb) menahan seorang penganggur yang disyaki terlibat dengan kes pecah sebuah rumah di Taman Tasconia Permyjaya pada Selasa, membabitkan kerugian sebanyak RM28,000.

Turut ditahan seorang pembeli barangan curi dari rumah tersebut yang dijual suspek pada harga RM250.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, polis kini sedang menjejak dua lagi rakan sejenayah suspek yang disyaki turut terlibat sama dalam kejadian pecah rumah tersebut.

Beliau berkata, suspek pecah rumah berusia 22 tahun itu ditangkap oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) sekitar jam 7 malam di sebuah rumah di Lorong Jati 2f, Desa Senadin Phase 5.

“Suspek ditahan bersama pembeli barangan yang disyaki dicuri dari sebuah rumah di Taman Tasconia Permyjaya pada Selasa (16 Feb),” ujar Hakemal.

Barangan yang ditemui dan disita dilercayai telah dicuri dari sebuah rumah di Taman Tasconia Permyjaya

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan melibatakan penyalahgunaan dadah.

“Suspek yang membeli barangan curi berusia 50 tahun mempunyai rekod jenayah sebanyak 19, manakala suspek yang melakukan pecah rumah dan menjual barangan terbabit mempunyai lima rekod jenayah,” jelasnya.

Turut ditemui dan disita semasa tangkapan pada malam Rabu iu ialah sebuah van jenis Datsun berwarna putih, satu unit TV kabinet warna putih dan satu set meja jubin batu marmar berwarna hijau.

Barangan yang ditemui tersebut dipercayai telah dicuri dari sebuah rumah di Taman Tasconia Permyjaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah. — DayakDaily