Polis siasat 260 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di Sarawak sejak 2017

Datuk Aidi Ismail

KUCHING, 9 Sept: Kes Alladin Lanim, lelaki pedofilia yang dihukum penjara 48 tahun atas kesalahan seksual terhadap kanak-kanak antara 260 kes serupa yang disiasat di negeri ini sejak 2017.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidil Ismail berkata suspek yang dijatuhkan hukuman pada 16 dan 17 Ogos lalu didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Katanya, suspek semasa ditangkap pada 5 Julai oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) didapati memiliki ribuan bahan pornografi kanak-kanak di telefon bimbitnya.


“Suspek ditangkap dengan kerjasama daripada D11 Bukit Aman, JSJ Polis Sarawak bersama pihak Polis Australia dengan masing-masing memainkan peranan.

“Memandangkan kegiatan suspek terbongkar di ‘dark web’ dan tanpa pendedahan identiti menyebabkan risikan dan siasatan dijalankan oleh D11 Bukit Aman bersama Polis Australia yang mempunyai kepakaran dalam siasatan melibatkan ‘dark web’ sehingga identiti suspek dikenalpasti.

“Dengan berbekalkan maklumat tersebut, D11 dan JSJ Polis Sarawak berjaya mengetahui keberadaan ‘Alladin’ yang sebenarnya bekerja sebagai konduktor lapangan di sebuah ladang sawit di Biawak, Lundu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, sepasukan anggota dari D11 Polis Sarawak telah membuat tangkapan terhadap suspek.

“Laporan media mengatakan ‘Alladin’ ditangkap di pusat kuarantin di Kuching selepas balik dari Semenanjung Malaysia adalah kurang tepat.

“Suspek juga tidak pernah keluar dari Sarawak sejak balik ke Sarawak pada tahun 2016,” katanya.

Tambahnya, lima kanak-kanak dari kawasan kejiranan suspek juga tampil bersama ibu bapa masing-masing membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Ekoran itu, Alladin berjaya dituduh dengan 18 pertuduhan di mana telah dihukum dengan 48 tahun 6 bulan penjara dan 15 sebatan.

“Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara,” katanya.

Sementara itu, Aidi turut memberitahu daripada 270 kes yang dilaporkan, 76 peratus telah didakwa di mahkamah dan tiga suku (3/4) daripadanya telah dijatuhkan hukuman penjara.

“Selebihnya masih dalam proses perbicaraan.

“Usaha membendung jenayah ini bukan terletak pada satu pihak, tetapi perlu kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah agensi penguatkuasa undang-undang baik dari dalam mahupun luar negara,” katanya. — DayakDaily