Nelayan Vietnam ditangkap, ceroboh perairan negara

Kru kapal yang ditangkap selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

KUCHING, 9 Sept: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak telah menahan sebuah bot nelayan asing menerusi Operasi Khas pada jarak lebih kurang 167 batu nautika timur laut Tanjung Po, Kuching sekitar jam 7.40 pagi, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kru bot tersebut dipercayai nelayan asing Vietnam berdasarkan struktur fizikal dan nombor pendaftaran pada bot.

Katanya, bot tersebut bertindak cuba melarikan diri apabila dirapati bagi tujuan pemeriksaan dan geledah, namun berjaya dipintas dan ditahan oleh penguatkuasa.


“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Manakala tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 45 tahun juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Bot dan kesemua kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel KOMTAS, Kuching untuk siasatan lanjut.

“Hasil tangkapan ikan campur anggaran 1,300 kilogram, peralatan menangkap ikan, serta bekalan diesel lebih kurang 1,300 liter turut dirampas.

“Keseluruhan rampasan termasuk bot adalah dianggarkan bernilai RM600,000,” katanya.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala anak kapal boleh didenda sehingga RM600 ribu setiap seorang dan vesel boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Kesemua kru akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut boleh disampai orang ramai kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak melalui talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily