Polis serbu pub yang beroperasi tanpa lesen sah

pelanggan yang mengunjungi pub berkenaan turut kelihatan dibawa ke balai polis pusat Miri.

By Brad Rantayy

MIRI, 10 Okt: Tindakan sebuah premis yang beroperasi lebih masa selain tidak memiliki lesen sah di Simpang Ngu, Batu Niah, digempur polis awal pagi Sabtu (10 Oktober).

Serbuan pada jam 4 pagi oleh sepasukan anggota Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) itu, turut menahan tujuh pekerja wanita (GRO) dan 10 pelanggan lelaki pusat hiburan berkenaan.


Kesemua suspek merupakan warga negara Indonesia.

Polis turut merampas beberapa barangan elektronik dan sistem bunyi premis tersebut.

Sistem bunyi premis hiburan haram berkenaan juga turut dirampas.

Serbuan diketuai ASP Unang Giang itu dilakukan susulan maklumat berhubung premis berkenaan yang disyaki beroperasi melebihi masa ditetapkan.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen yang sah.

Semua tangkapan berusia dalam 20-an sehingga 40-an dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2001, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Peraturan 11 memperuntukan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.–DayakDaily.