16 pemandu mabuk ditahan pada operasi di 4 daerah semalam

Operasi mengesan pemandu mabuk di 4 daerah pada semalam.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Okt: Seramai 16 pemandu mabuk ditahan pada operasi polis trafik yang diadakan di empat daerah iaitu di Kuching, Padawan, Sibu dan Sarikei semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak (JSPT) Supt Alexson Naga Chabu, operasi dijalankan bermula jam 10 malam dan berakhir jam 3 pagi hari ini.


“Seramai 16 pemandu ditahan setelah diuji positif mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan dalam badan.

“Sembilan pemandu mabuk ditahan di daerah Kuching, lima di Padawan, seorang di Sibu dan di Sarikei.

“Tangkapan dibuat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada operasi yang dilakukan serentak di empat daerah itu tambah Alexson, polis trafik Kuching juga telah mengeluarkan sebanyak 161 saman, Padawan (108), Sibu (6) manakala polis trafik Sarikei mengeluarkan lima saman.

Di Kuching katanya, sekatan diadakan di Jalan Simpang Tiga dan sebanyak 149 buah kenderaan telah diperiksa yang melibatkan 164 individu.

Manakala di Padawan, sekatan telah diadakan di Jalan Batu Kawa (MJC) dan telah memeriksa 102 buah kenderaan yang melibatkan 187 individu.

Di Sibu pula, sekatan diadakan di Jalan Dr Wong Soon Kai dengan 20 buah kenderaan diperiksa yang melibatkan 22 individu.

Di Sarikei, polis trafik mengadakan sekatan di Jalan Sungai Pasi dengan 38 buah kenderaan diperiksa dan melibatkan 33 individu.-DayakDaily