Polis senaraikan 15 zon penguatkuasaan SOP di Kuching dan Padawan

Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail

KUCHING, 22 Feb: Polis Sarawak pada semalam telah menetapkan 15 zon penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada mengikut pentadbiran balai di Kuching dan Padawan.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail, penguatkuasaan SOP itu melibatkan sembilan balai polis di bawah IPD Kuching dan enam di bawah IPD Padawan.

Katanya, ia juga bagi meningkatkan tahap pematuhan SOP dikalangan masyarakat dan memaksimumkan kehadiran anggota penguatkuasaan di tempat-tempat tumpuan.

“Pembahagian zon adalah mengikut pentadbiran balai dengan ketua polis balai sebagai pegawai zon yang akan menilai keadaan dan situasi semasa dan akan melaksanakan pembahagian pasukan mengikut penilaian keadaan semasa.

“Penguatkuasaan dilakukan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar basah, pusat beli belah, pasaraya, kedai-kedai, tempat makan, tempat riadah dan lain-lain mengikut penilaian pegawai zon.

“Pasukan juga akan mengawal kawasan komuniti seperti perumahan, flat dan kampung-kampung selain menerima maklumat yang disalurkan untuk tindakan selanjutnya,” kata Aidi semasa menyampaikan taklimat ‘Memperkasakan Pasukan Pematuhan Covid-19’ pada semalam.

Tambah beliau, masa penugasan bermula 6 pagi hingga 11 malam berdasarkan penilaian keadaan oleh pegawai zon.

Jelas Aidi, masa yang di jangka menjadi tumpuan adalah dari 6 pagi hingga 10 pagi iaitu di pasar tani, pasar basah dan tamu.

Penguatkuasaan SOP juga memberi tumpuan terhadap pusat beli belah, pasaraya, kedai-kedai dan tempat makan mulai jam 10 pagi hingga 5 petang selain waterfront dan bistro pada jam 7 petang hingga 10 malam.

“Kaedah pelaksanaan adalah rondaan berjalan kaki, menggunakan kenderaan di kawasan tumpuan ramai atau menggunakan konsep Ops Payung.

“Menggunakan pembesar suara MPV di kawasan tumpuan ramai dengan menasihati mematuhi SOP dan memasang siren atau becon untuk menandakan kehadiran polis,” ujar Aidi.

Sembilan balai polis yang terlibat di dalam kawasan Kuching ialah Balai Polis Sentral, Balai Polis Gita, Balai Polis Sekama, Balai Polis Satok, Balai Polis Sungai Maong, Balai Polis Padungan, Balai Polis Santubong, Balai Polis Tabuan Jaya dan Balai Polis Bintawa.

Bagi kawasan Padawan ia melibatkan Balai Polis Kota Sentosa, Balai Polis Batu Kawa, Balai Polis Batu 10, Balai Polis Siburan, Balai Polis Tapah dan Balai Polis Beratok.

Selain polis, penguatkuasaan SOP itu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan 200 anggota, Rela (200), Angkatan Pertahanan Awam (200), Unit Keselamatan Negeri Sarawak (50), Majlis Kerajaan Tempatan (300) dan Jabatan Perpaduan Negara(JPN).

Dalam pada itu, Aidi berkata penguatkuasaan SOP itu melibatkan 241 pasukan dengan jumlah keseluruhan anggota yang terlibat adalah 950 orang. — DayakDaily