Covid-19: 2,192 kes baharu dan 3,414 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 22 Feb: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 2,192 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 2,189 kes tempatan dan tiga kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 285,761 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 32,076 kes,” katanya menerusi satu kenyataan.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 910 kes. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 303 kes dan Sarawak sebanyak 221 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak  3,414 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 252,623 kes atau 88.40 peratus daripada  jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 199 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 91 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan enam kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,062 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di  Pahang, Johor, Sabah, dan Sarawak.

“Sebanyak lima kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat lapan kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan tujuh kluster berkaitan tempat kerja dan satu kluster melibatkan komuniti. — DayakDaily