Polis perhebat operasi banteras pemandu dan penunggang mabuk di Kuching

Anggota polis sedang menjalankan sekatan jalan raya. Fail Foto

KUCHING, 10 April: Operasi membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol terus diperhebatkan.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa, tiga lelaki didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan polis di jalan berhampiran Simpang Tiga dalam ‘Op Mabuk’ pada malam Jumaat.

Beliau memberitahu hasil ujian menggunakan alat EBA mengesahkan kesemua individu warga tempatan tersebut positif alkohol.

“Kandungan alkohol ketiga-tiga pemandu itu melebihi sukatan normal iaitu 111mg/100ml, 86mg/100ml dan 104mg/100ml.

“Ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan berusia 35, 37 dan 50 tahun ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.

“Jika sabit kesalahan mereka (suspek) boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penunggang motosikal diuji menggunakan alat EBA.

Dedahnya tangkapan tersebut merupakan hasil Op Mabuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching bermula 8.30 malam pada malam tadi.

Katanya, 43 kenderaan dan 63 orang diperiksa sepanjang operasi dijalankan sehingga tamat pada awal pagi.

“Susulan itu, sebanyak 32 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya. — DayakDaily