Polis Padawan berkas 8 individu disyaki terlibat judi dalam talian

Kelihatan suspek yang ditahan oleh polis di sebuah unit kondominium di Jalan Sungai Tapang, Kuching yang disyaki digunakan sebagai pusat pangilan judi dalam talian.

KUCHING, 25 Nov: Seorang warga Indonesia antara lapan individu ditahan dalam satu serbuan ke atas pusat perjudian atas talian di sebuah unit kondominium di Jalan Sungai Tapang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata dalam serbuan yang dilakukan jam 3.30 petang itu, lapan individu tersebut terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki mengendalikan aktiviti judi dalam talian.

“Kesemua suspek ini ditugaskan untuk mencari pelanggan melalui telefon untuk permainan judi atas talian dan dibayar gaji sebanyak RM1,500 sebulan.


“Suspek-suspek ini beroperasi 24 jam mengikut giliran masing-masing yang telah ditetapkan dan menggunakan laman sesawang 918 Kiss, 918 Kaya, Se 88, Mega 888 dan Pussy 88 bagi menjalankan aktiviti judi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidil berkata, pihaknya percaya, sindiket terbabit telah beroperasi lebih kurang lima bulan dan mampu menjana keuntungan sehingga mencecah RM150,000 sebulan.

Katanya, unit kondominium tersebut digunakan sindiket sebagai pusat panggilan bagi mengaburi dan mengelak kegiatan tersebut dihidu oleh pihak berkuasa.

Pemeriksaan lanjut ke atas semua suspek terbabit turut mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dibawah Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semasa serbuan terbabit, pihak polis turut merampas peralatan komputer yang digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut, 11 unit telefon pintar, buku rekod transaksi kad sim, dua unit modem, bil elektrik peremis tersebut dan anak kunci bagi unit kediaman terbabit.

“Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakkan selanjutnya dan kes akan disiasat di bawah Seksyen4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuks 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. — DayakDaily