Cubaan 3 suspek untuk mengelak polis gagal selepas kereta terbabas

Ketiga-tiga suspek berjaya ditahan selepas telibat kemalangan di Jalan Burung Rawa.

KUCHING, Nov 26: Tiga suspek ditangkap selepas cuba melarikan diri daripada diperiksa polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Lorong Stampin 2, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata suspek berusia 27 hingga 39 tahun itu terdahulunya dilihat berkelakuan mencurigakan menaiki sebuah kereta iaitu sekitar jam 3.40 petang.

Beliau memberitahu, suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian terus melarikan diri bersama kereta tersebut.


“Polis mengambil masa lebih kurang setengah jam mengejar kereta berkenaan sehingga akhirnya dapat ditahan di Jalan Burung Rawa apabila kereta itu terbabas selepas melanggar tiang lampu jalan.

“Ketiga-tiga suspek yang berada di dalam kereta berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya juga, ketiga-tiga suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. — DayakDaily