Polis Miri serbu premis berkaitan kecurian elektrik dan pengoperasian Bitcoin secara haram

Pihak polis melakukan serbuan ke atas premis berkenaan dalam operasi dua hari itu.

MIRI, 19 Mac: Polis daerah ini bersama Sarawak Energy Berhad (Sesco) telah melancarkan satu kolaborasi menangani kecurian elektrik membabitkan pengoperasian Bitcoin secara haram di kawasan sekitar Miri selama dua hari, bermula daripada 17 Mac dan 18 Mac tahun ini.

Anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM1,407,200 manakala nilai kerugian dialami oleh Sarawak Energy Berhad dianggarkan sebanyak RM 1,430,800.

Hasil daripada kolaborasi tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri (JSJ) telah berjaya melakukan tiga siri serbuan ke atas premis atau rumah kedai di kawasan Taman Tunku, Lopeng dan Jalan Miri By Pass Indurstrial Park yang telah dikenalpasti oleh Sesco membuat penyambungan elektrik secara haram.


Serbuan ke atas premis telah membuahkan hasil dengan kejayaan rampasan 300 unit mesin Crypto Currency Mining, dua unit komputer riba, lima unit modem serta peralatan-peralatan yang berkaitan digunakan untuk pengoperasian Bitcoin.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, JSJ Miri telah menahan tiga individu yang mendalangi aktiviti kecurian elektrik dan siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan di atas kesalahan mencuri elektrik dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda melalui penyambungan elektrik secara haram.

Selain daripada itu, sindiket yang terlibat dengan aktiviti ini juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta  Pencegahan Jenayah 1959 [Akta 297] (POCA).

“Pihak polis ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan penyambungan eletrik secara haram dan kita juga tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang didapati melakukan kesalahan ini,” jelas Hakemal dalam satu kenyataan akhbar hari ini. — DayakDaily