Polis Miri perjelas isu laporan sebuah portal berita berbahasa Cina

PDRM logo

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Oct 14: Polis Miri menyangkal dakwaan laporan sebuah portal berita berbahasa Cina di sini yang mendakwa kes kecurian sering berlaku di kawasan kediaman Vista Perdana Fasa 2.

Malah, menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian.


“Portal berita berbahasa Cina tempatan bertarikh 10 Oktober 10 tahun ini, beberapa kes kecurian sering berlaku di kawasan perumahan tersebut, hasil semakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Miri dari Januari 2021 sehingga  12 Oktober 2021 mendapati tiada sebarang laporan melibatkan kes pecah rumah diterima sepanjang tempoh tersebut,” jelas Hakemal.

Beliau menekan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh portal media tersebut adalah tidak tepat dalam menggambarkan keadaan sebenar kadar jenayah di kawasan tersebut.

Justeru itu, satu pertemuan telah diadakan bersama Datuk Bandar Miri bagi menjelaskan situasi dan laporan yang sebenar berkaitan isu ini kerana ianya menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta mengganggu gugat ketenteraman orang awam.

Jelas Hakemal, berpandukan kepada keseluruhan sistem laporan Polis yang melibatkan kes jenayah harta benda iaitu kes pecah rumah, curi kenderaan dan lain-lain curi di seluruh Daerah Miri yang merangkumi Bekenu dan Batu Niah dari Januari hingga September 2021 menunjukkan penurunan sebanyak 50 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2020.

Kenyataan media yang kurang tepat tersebut adalah merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika.

Sebarang kenyataan media yang dikeluarkan hendaklah menggambarkan keadaan sebenar supaya ianya tidak menimbulkan sebarang ketakutan yang boleh mengakibatkan masyarakat tempatan berasa tidak selamat.

“Polis Miri sentiasa memberi prihatin yang khusus mengenai isu jenayah di daerah ini dan pihak PDRM sentiasa berusaha untuk menyelesaikan laporan yang diterima berkenaan aktiviti jenayah. Antara usaha-uasah yang diambil oleh PDRM Miri dalam menandangani isu jenayah dengan melancarkan beberapa siri operasi seperti Op Bersepadu, Op Lejang, Op Pintu dan Op Lusuh serta mempertingkatkan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kadar jenayah di Daerah Miri terkawal,” katanya.

Masyarakat Miri digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah yang berlaku kepada pihak polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pelaku agar ketenteraman dan keselamatan masyarakat terjaga. — DayakDaily