Polis cekup 6 penganggur disyaki edar dadah

Dadah yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Feb 19: Lima lelaki dan seorang wanita dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi dua serbuan serentak di dua buah rumah di Simpang Ngu Jalan Bintulu-Miri, Batu Niah, malam semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, pasukan polis berjaya menahan kesemua suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, semua suspek yang ditahan merupakan penganggur dan seorang daripada mereka adalah lelaki warga Indonesia.

Jelas beliau, kejayaan serbuan tersebut adalah atas maklumat dan risikan yang dijalankan pasukan JSJ Narkotik IPK Sarawak.

“Menerusi serbuan pertama, pasukan polis telah menahan dua lelaki dan pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam rumah tersebut telah menjumpai dan merampas 18 tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kasar 5.0 gram.

“Serbuan di rumah kedua pula, pasukan serbuan telah menahan empat suspek sebelum menjumpai dan merampas 3 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 8.5 gram,” katanya di sini hari ini.

Senapang patah yang dirampas.

Sahar menambah, dengan dipandu arah salah seorang suspek, pasukan polis telah merampas selaras senapang patah buatan sendiri di rumah yang sama.

Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran bermula awal tahun ini di sekitar kawasan Simpang Ngu, Batu Niah.

“Anggaran rampasan keseluruhan dadah itu adalah sebanyak RM2,025.

“Saringan awal air kencing terhadap terdapat semua suspek turut positf dadah amphetamine dan methamphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya. — DayakDaily