Bayaran RM100 bagi BSH individu bujang dibayar Mac

Lim Guan Eng

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 19: Kerajaan akan membuat bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM100 kepada individu di bawah kategori bujang pada hujung Mac ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bayaran tersebut akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.


Jelas beliau, bantuan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih tiga juta individu dengan peruntukan berjumlah RM300 juta.

“Berhubung dengan bayaran selanjutnya, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan.

“Ini kerana berdasarkan keputusan Kabinet tahun lalu, kerajaan telah menyediakan BSH pada tahun ini dengan mengutamakan keluarga dan telah menyediakan kadar tambahan mengikut bilangan anak di bawah tanggungan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lim menambah, namun begitu, Perdana Menteri telah menekankan bahawa isu tekanan kos sara hidup perlu diberi perhatian bagi semua yang berkeperluan dalam masa terdekat.

Ujarnya Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyarankan agar golongan anak muda yang belum berkahwin dan bekerja tetapi berpendapatan kecil dibantu.

“Lantaran saranan itu, kerajaan telah memutuskan akan membuat bayaran sebanyak RM100 sebagai permulaan kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018,” katanya. — DayakDaily