PKR: Sarawak wajar diberi RM25.5 bilion menerusi Bajet 2022

Dr Michael Teo

KUCHING, 3 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak merasakan negeri ini harus mendapat peruntukan RM25.5 bilion menerusi Bajet 2022 yang telah dibentang oleh Menteri Kewangan baru-baru ini.

Naib Presiden PKR yang juga MP Miri Dr Michael Teo Yu Keng berkata, jumlah tersebut khas untuk pembangunan dan adalah wajar sekiranya Sarawak diperakui sebagai satu daripada 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Selayaknya, apabila dikira sebagai rakan kongsi seperti di dalam Perjanjian Malaysia (MA63), Sarawak harus mendapat satu pertiga daripada peruntukan tahunan Bajet Nasional setiap tahun.


“Ini memerlukan tekad politik dan kejujuran semua pihak tanpa persoalan untuk membangunkan Sarawak dan Sabah setara dengan kemajuan Semenanjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setelah tercicir selama 58 tahun tambah Dr Micheal, pembangunan Sarawak seharusnya dipercepatkan untuk dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.

Katanya, Sarawak adalah penyumbang utama kepada perbendaharaan negara daripada hasil gas, petroliam serta pelbagai sumber alam yang lain dan harus menjadi negeri yang kaya dan maju.

“Jika dibuat perbandingan, Semenanjung secara keseluruhannya menerima sejumlah RM322 Billion iaitu 96.9 peratus dari keseluruhan peruntukan Bajet 2022.

“Manakala Sarawak mendapat RM4.6 billion dan Sabah menerima RM5.2 billion iaitu kurang dari empar peratus sahaja.

“RM4.6 Billion untuk Sarawak ini adalah jauh daripada yang wajar,” katanya.

Ujar beliau yang juga Naib Pengerusi PKR Sarawak, negeri ini masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan dan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo pun diancam terkandas kerana kontraktor-kontraktor mengalami masalah kewangan. — DayakDaily