PKR Sarawak mahu Belaga dan Telang Usan bentuk satu kawasan Parlimen baharu

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 11 Nov: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit mahukan Daerah Belaga dan Daerah Telang Usan membentuk satu kawasan Parlimen baharu.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, ia bagi mewakili satu kawasan Orang Ulu.

“Untuk persempadan kali ini, saya mengharapkan daerah pedalaman yang luas seperti Daerah Belaga dalam Parlimen Hulu Rajang dan Daerah Telang Usan dalam Parlimen Baram perlu dijadikan kawasan Parlimen baharu,” kata Abun.


Tambah beliau, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa memperbanyakan sesi libat urus bukan sahaja dengan jabatan kerajaan.

Jelas Abun, ia perlu melibatkan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan parti politik pembangkang.

“Ini penting untuk mengelak ketidakadilan dan rasa tidak puas hati mana-mana pihak apabila kawasan-kawasan Parlimen baru digazetken tanpa pengetahuan dan penglibatan mereka,” ujarnya. — DayakDaily