PKPP: Penganjuran acara dan temuduga bersemuka dibenarkan, kata Ismail

Ismail Sabri addressing the media during a press conference at Putrajaya. Photo Credit: Radio Television Malaysia (RTM).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, JUN 17: Penganjuran mesyuarat, seminar, bengkel, kursus, latihan dan persidangan oleh pihak kerajaan dan swasta kini dibenarkan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran tersebut diputuskan pada mesyuarat khas menteri-menteri hari ini.

Namun katanya, kebenaran ini tertakluk kepada pelbagai prosedur operasi standard(SOP).

“Antaranya adalah jumlah maksima peserta ialah seramai 250 orang.

“Walaubagaimanapun, ia tetap mengikut kapasiti ruang penganjuran. Mesti ada penjarakan sosial.

“Jika dewan itu kecil dan tidak muat sehingga 250 maka ia tidak dibenarkan. Ia berdasarkan keluasan dewan dan penjarakan sosial mesti ada kerana ia SOP wajib,” kata Ismail.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) di Putrajaya hari ini.

Berhubung proses temuduga yang hanya dilaksanakan secara atas talian di sepanjang PKP lepas, Ismail berkata kini proses tersebut telah dibenarkan secara bersemuka.

Katanya, kebenaran dibuat pada mesyuarat khas menteri-menteri pada Isnin lepas.

“Jadi tidak perlu lagi dilaksanakan di atas talian dan ini termasuk juga pada pihak swasta.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan menyediakan SOP berkaitan proses temuduga secara bersemuka dan akan disemak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” ujar beliau.

Jelas Ismail, SOP ini akan menjadi rujukan dan akan diedar ke semua kementerian dan agensi-agensi.—DayakDaily