PKP: Indek jenayah turun 70 peratus — Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 7: Indek jenayah di sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menurun 70 peratus, kata Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Berita yang mengembirakan kita ialah laporan dari pihak polis bahawa indek jenayah yang berlaku di seluruh negara menurun 70 peratus.


“Jadi bagi rakyat kita yang memberikan komen di dalam media sosial dan sebagainya menyatakan kebimbangan rumah mereka kosong, statistik yang ditunjukkan pihak polis menunjukkan indek jenayah menurun 70 peratus sepanjang PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan PKP di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis pada Isnin (April 6) telah menahan 403 individu berkaitan kesalahan ingkar PKP melalui sekatan jalanraya dan rondaan di seluruh negara.

Menurut beliau, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 554 tangkapan pada Ahad.

“Daripada jumlah 403 ini, seramai 347 individu direman dan 56 dijamin, manakala seramai 537 individu telah dituduh di mahkamah semalam.

“Jumlah kumulatif tangkapan atas kesalahan ingkar PKP sejak 18 Mac hingga 6 April adalah 6,452 individu,” katanya.

Ismail Sabri hari ini turut mengumumkan satu lagi Perintah Kawalan Diperketat (PKPD) iaitu di Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion.

Katanya, kerajaan membuat keputusan mengenakan PKPD atas nasihat Menteri Kesihatan.

“Ini berikutan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di dua bangunan tersebut.

“PKPD ini melibatkan penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan berkuatkuasa hari ini sehingga proses pengesanan kes dari unit ke unit selesai,” ujar Ismail Sabri.

Terdahulu PKPD turut dikenakan di Simpang Renggam (Kluang, Johor), Sungai Lui (Hulu Langat, Selangor) dan di Menara CityOne di Masjid India. — DayakDaily