PKP: 13 akademi penjara diwarta sebagai pusat tahanan pesalah ingkar

File photo of Ismail Sabri addressing a press conference on Covid-19.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 15: Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri(KDN) mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan pesalah-pesalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut diambil bagi mencegah kesesakan di penjara.


“Sekarang pula timbul isu terlalu ramai akan ditangkap setelah polis pada Fasa Tiga PKP mengurangkan pemberian kompaun.

“Apabila dihukum penjara oleh mahkamah, maka timbul isu penjara akan terlalu sesak dan amalan penjarakan sosial tidak dapat dilaksanakan.

“Oleh itu, mesyuarat semalam telah membuat keputusan iaitu supaya KDN mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan yang baharu untuk pesalah-pesalah ingkar PKP dan yang berkaitan dengannya,” kata Ismail.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKP pada hari pertama Fasa Tiga PKP di Putrajaya hari ini

Menurut Ismail lagi, 13 pusat tahanan
tersebut tetap akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjara.

“Walaupun ia adalah pusat akademi penjara, namun peraturan dan undang-undang sama sahaja dengan penjara biasa.

“Bukan bermaksud apabila masuk ke penjara ini, makanannya mewah-mewah. Ianya tetap mengikut SOP penjara biasa,” ujar beliau.

Semalam, Ismail memaklumkan bahawa di bawah Akta 342, mereka yang ingkar boleh dihukum penjara tidak melebihi 2 tahun dan bagi kesalahan yang seterusnya boleh dihukum tidak lebih 5 tahun.

Pada sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa pada semalam(14 April) polis telah menahan 612 individu kerana ingkar PKP.

Menurutnya, ia merangkumi 590 individu yang telah direman dan 15 individu dijamin polis.

“Semalam juga, sebanyak 337 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP.

”Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 14 April 2020 adalah sebanyak 9,702 individu,” ujar beliau. —DayakDaily