Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia langkah pertama kembalikan hak Sarawak dan Sabah, kata Mordi

Kelihatan Mordi berucap dalam sidang Parlimen hari ini (April 9, 2019) dalam gambar yang dipetik dari siaran langsung yang dipaparkan dalam laman sesawang Pejabat Perdana Menteri (https://www.pmo.gov.my/parliament-live-dewan-rakyat/),

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 9: Ahli Parlimen (MP) Mas Gading Mordi Bimol percaya pindaan Perkara 1 Fasal (2) Perlembagaan Malaysia bakal mengubah nasib Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, pindaan tersebut akan memperbetulkan kesilapan yang pernah dilakukan oleh pemimpin negara 43 tahun lepas, iaitu sebagai langkah pertama untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak.


“Pindaan ini merupakan satu langkah awal, walaupun ada pihak yang memperkecilkan pindaan ini, atau menganggap pindaan ini sebagai kosmetik.

“Kononnya hanya cantik di luaran, tetapi maknanya cukup besar dalam usaha kerajaan baru hari ini untuk mengembalikan hak kami di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai sokongan pada Rang Undang-Undang Perlembagaan(Pindaan) 2019, Perkara 1(2) di Parlimen hari ini.

Terdahulu hari ini di Parlimen, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membaca untuk kali kedua pindaan tersebut.

Mordi berkata, pindaan ini bakal mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia 1963, selaras dengan prinsip dan semangat yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tegas beliau, Pindaan Perkara 1(2) pada tahun 1976 telah menurunkan taraf Sabah dan Sarawak daripada salah sebuah wilayah yang membentuk Malaysia kepada salah sebuah negeri dalam Malaysia.

“Malaysia pada 1976 dilihat telah menjadi satu wilayah, di mana Sabah dan Sarawak telah diletakkan sebaris dengan negeri-negeri lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang asal.

“Dalam erti kata lain, Sabah Sarawak seolah-olah diletakkan sama seperti negeri lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu 1957, bukan persekutuan Malaysia 1963.

Itulah yang dikatakan status atau taraf Sabah dan Sarawak telah diturunkan,” katanya.

Mordi yakin pindaan yang dibuat hari ini adalah untuk meminda semula Pindaan 1976 kepada ayat asal seperti mana yang tertulis dalam dokumen asal Perjanjian Malaysia 1963.

Sarawak akan balik semula kepada status asal dan dari situ akan bergerak semula memperbetulkan kesilapan Barisan Nasional terdahulu satu per satu, menurut beliau.

“Seterusnya, kami orang Sabah dan Sarawak juga mengharapkan selepas Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi dapat direalisasikan.

“Maksudnya hak kami di Sabah dan Sarawak akan dikembalikan melalui pindaan-pindaan lain selaras dengan persetujuan dalam perbincangan di peringkat Jawatankuasa Khas Kabinet,” tegas Mordi. — DayakDaily