PGA Sarawak tumpaskan penyeludupan arak, rampas haiwan terlindung

Khaw (dua dari kanan) menunjukkan gambar sebahagian burung terlindung yang dirampas pada sidang media di Kuching hari ini (Feb 5, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Feb 5: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak telah berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan arak pelbagai jenis dengan nilai rampasan sebanyak RM196,000 di Miri.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Khaw Kok Chin berkata kejayaan itu hasil kecekapan sepasukan polis dari unit risik.


“Semalam, pasukan risik PGA di Miri bersama tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) telah membuat rampasan ke atas pelbagai jenis arak yeng bernilai RM196,000.

“Pasukan juga telah menyita tiga buah kenderaan termasuk sebuah lori dan van yang dianggarkan bernilai RM510,000.

“Maka jumlah keseluruhan rampasan adalah RM705,000,” katanya pada sidang media di Briged PGA Sarawak hari ini.

Pada sidang media yang sama, Khaw turut memaklumkan kejayaan Operasi Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan pasukan dari Batalion 11 bersama pegawai dari Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Katanya, bertindak atas maklumat pasukan telah membuat serbuan ke atas sebuah premis di Bau, Sarawak dan menjumpai 50 ekor burung pelbagai jenis, 11 ekor ayam, dua ekor itik dan 16 kura-kura.

“Semua haiwan ini dipercayai dilindungi dibawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Penjaga premis yang merupakan seorang wanita juga gagal menunjukkan dokumen sah untuk memiliki kesemua haiwan terlindung tersebut,” ujar beliau.

Atas kegagalan menunjukan dokumen sah, tambah Khaw, pasukan penguatkuasa telah membuat tangkapan dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM92,000. — DayakDaily