Cubaan sogok PGA dengan RM10,000, seorang lelaki Serian ditahan

Khaw (duduk dua dari kanan) pada sidang media di Kuching hari ini (Feb 5, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Feb 5: Seorang lelaki tempatan dari Kampung Cina, Serian ditahan atas cubaan memberi sogokan berjumlah RM10,000 kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak semalam.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Khaw Kok Chin berkata, lelaki tersebut bertindak demikian untuk mengelakkan rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM38,000 yang disimpan di premisnya dirampas.

“Sepasukan polis dari ibupejabat Briged PGA bersama dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis di Kampung Cina, Serian.

“Setelah memantau selama lebih sejam, penjaga premis yang merupakan seorang lelaki tempatan muncul dan hasil pemeriksaan menjumpai rokok seludup pelbagai jenis.

“Lelaki tersebut telah menawarkan wang sogokan berjumlah RM10,000 kepada pasukan kita,” katanya pada sidang media di IbuPejabat Briged PGA Batu Kawa di sini hari ini.

Tambah Khaw lagi, amaran telah dikeluarkan terhadap lelaki tersebut untuk tidak bertindak demikian kerana ia merupakan kesalahan di bawah akta SPRM.

Namun katanya, lelaki yang berusia 57 tahun itu tidak mengendahkan amaran pegawai PGA dan tangkapan dibuat selain merampas wang RM10,000.

Kes dan wang rampasan telah diserahkan kepada SPRM untuk siasatan selanjutnya, kata Khaw.

Mengulas kes berasingan, Khaw juga memaklumkan dua warganegara Indonesia telah ditangkap atas cubaan merasuah anggota PGA di Tebedu, Serian.

Kedua-dua mereka menawarkan wang sogokan berjumlah RM80 dan RM100 kepada anggota PGA untuk mengelakkan ditangkap atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. — DayakDaily