PGA Batalion 11 rampas tiga senjata api

Tiga senjata api yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, Julai 18: Tindakan seorang lelaki memiliki tiga senjata api membawa padah apabila dia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 di sebuah pejabat pengawal keselamatan syarikat ladang kelapa sawit di Lundu, semalam.

Suspek berusia 53 tahun dari Kampung Bitokan Lundu ditahan sepasukan anggota PGA pada pukul 12.30 tengah hari.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Supt Rosdi Inai berkata, serbuan dan tangkapan itu dilakukan susulan maklumat awam yang dilaporkan kepada pihak risikan pasukannya.


Menurut, ketika serbuan dilakukan, suspek keluar sambil membawa selaras senapang jenis Benelli.

“Anggota PGA kemudian memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan cara menunjukkan kad kuasa polis.

“Pegawai polis kemudian menerangkan kehadiran mereka iaitu mahu memeriksa senjata api yang disimpan di dalam pejabat pengawal keselamatan di situ,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Rosdi memberitahu, pegawai kanan polis tersebut kemudian meminta kad pengenalan suspek dan lesen senjata api sebagai pengesahan.

Bagaimanapun jelasnya, suspek berkenaan gagal menunjukkan dokumen penggunaan senjata api itu.

“Pegawai kanan polis kemudian memeriksa pejabat pengawal keselamatan di situ sebelum menemui buku daftar keluar masuk senjata api serta peluru.

“Namun, selepas diteliti, terdapat pengeluaran senjata api jenis sama pada Julai 17 pukul 10.10 pagi yang tertulis meronda dalam kawasan ladang.

“Pada masa sama, pemeriksaan lanjut menjumpai dua lagi laras senapang jenis 12 Bore Seki Auto yang sudah tamat lesen penyimpanan,” katanya lagi.

Rosdi menambah, suspek yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pembaharuan lesen senjata api kemudian ditahan.

Jelas Rosdi, pihaknya juga merampas tiga laras senapang tersebut.

“Nilai rampasan senjata itu dianggarkan berjumlah RM18,000 dan suspek ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” ujarnya lagi. — DayakDaily