PGA Batalion 11 tumpaskan kegiatan penyeludupan di Mongkos, Serian

Kelihatan sekumpulan lelaki Indonesia yang ditahan.

KUCHING, Julai 18: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai barangan kawalan dalam satu serbuan di kawasan laluan ‘tikus’ di Kampung Mongkos, Serian, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11, Supt Rosdi Inai berkata, serbuan hasil maklumat awam dan risikan tersebut telah dilakukan pada pukul 10.30 pagi.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya telah menahan 15 lelaki warga Indonesia yang berusia antara 19 hingga 36 tahun.

“Pemeriksaan lanjut, anggota PGA telah merampas 15 buah motosikal dan 19 unit tong gas memasak yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Anggota PGA juga merampas 28 guni ayam beku, 48 kotak sosej pelbagai jenis, 4 kotak minuman keras dan 1 kotak mikroskop daripada kesemua lelaki warga asing itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Barangan yang berjaya dirampas oleh PGA Batalion 11.

Rosdi menambah, nilai keseluruhan rampasan barangan itu ialah sebanyak RM45,300.

Katanya, kesemua suspek telah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kita amat memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan isu barangan kawalan yang cuba diseludup keluar ke negara jiran (Indonesia).

“Kita juga akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan meminta orang ramai memberikan maklumat agar kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia dapat dibanteras,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967. — DayakDaily