Keselamatan sempadan negeri diperkukuhkan dengan penubuhan briged sempadan

Soldier. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Julai,18: Satu briged sempadan telah ditubuhkan untuk mengukuhkan lagi keselamatan sempadan di keseluruhan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Briged tersebut terdiri daripada lima batalion rejimen sempadan yang mana ianya masih dalam proses pengisian perjawatan dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada tahun 2019.

Uggah berkata, dengan wujudnya briged itu, markas divisyen pertama infantri Malaysia akan menambah empat buah lagi Pangkalan Operasi Hadapan (Forward Operation Base, FOB) iaitu FOB Pakan, FOB Mabong, FOB Bakun, dan FOB Long Akah.


“Untuk makluman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu yang membangkitkan isu keselamatan sempadan di Telok Melano khususnya dan sepanjang sempadan amnya, pihak Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan sebuah Pos Kawalan Sempadan (PKS) di Telok Melano.

“Pihak Jabatan Imigresen Malaysia telah mengemukakan kertas cadangan pengwujudan sebuah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (Immigration, Custom, Quarantine and Security, ICQS) di Telok Melano kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada tahun 2017.

“Namun, cadangan ini masih dalam kajian pihak KDN,” kata Uggah semasa ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau menambah, bagi menanggani isu kawalan sempadan dari Biawak sehingga ke Tanjong Datu, pada masa ini kawasan tersebut adalah di bawah kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan setengah platun terdiri daripada 18 orang telah ditempatkan di kawasan Telok Melano.

“Pihak PGA Briged Sarawak juga telah merancang untuk menempatkan satu lagi seksyen seramai 11 orang untuk kawalan di ICQS Biawak. Selain itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah beroperasi di ICQS Biawak bagi memantau kegiatan penyeludupan barangan kawalan di kawasan tersebut,” kata beliau.

Uggah berkata, keselamatan dan ketenteraman awam di negeri Sarawak berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

“Setakat ini, tiada sebarang aktiviti atau unsur-unsur yang dikesan boleh mengganggu-gugat dan menjejaskan keadaan keselamatan,” tambah beliau.

Sementara itu, beliau berkata bahawa kadar jenayah di negeri Sarawak bagi tempoh Januari sehingga Jun 2018 menunjukkan penurunan sebanyak 11 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017.

“Namun demikian, kerajaan akan terus berusaha membanteras jenayah demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat negeri Sarawak. Polis Diraja Malaysia sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif pencegahan jenayah bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat. Antaranya adalah dengan mewujudkan ‘Community Policing’, ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP), AMANITA dan ‘Omni-presence’,” kata Uggah.

Uggah memberitahu DUN bahawa, ‘Operasi Harapan’ telah dilancarkan pada Julai 1, 2018 bagi mempertingkatkan keberkesanan pencegahan jenayah PDRM.

“Operasi ini melibatkan kerjasama pelbagai peringkat pegawai kanan dan anggota PDRM. Usaha ini akan diteruskan mengikut keperluan semasa,” tambah beliau. — DayakDaily