Permulaan ‘Manis’ untuk gabungan OKU Sarawak

Raphelson (berdiri kanan) bersama ahli-ahli jawatankuasa Manis.

KUCHING, 18 Okt: Gabungan persatuan orang kelainan upaya (OKU) menubuhkan Majlis Anak Istimewa Sarawak (Manis) bagi membela dan mentadbir hal ehwal OKU Sarawak secara menyeluruh.

Protem presidennya Rapelson Richard Hamit menerusi satu kenyataan mendedahka gabungan itu berharap Manis boleh menjadi sebahagian daripada badan pelaksana kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan.

“Justeru, kita akan mengadakan kunjungan hormat kepada kementerian yang berkenaan dan agensi-agensi yang berkaitan.


“Ia bagi menyampaikan isu dan jalan penyelesaian berkaitan pendidikan, ekonomi, prasarana dan kemudahan asas, sosial, sosio ekonomi dan juga perundangan yang melibatkan OKU,” menurut Raphelson.

Dalam pada itu, Manis katanya mengesa agar pihak kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan melaksanakan Akta OKU 2008 sebagai undang-undang.

Menurut Raphelson, tindakan undang-undang wajib dikenakan kepada pesalah yang melanggar undang-undang atau peraturan ini bagi membela hak golongan OKU.

“Manis juga telah telah menyenaraikan tuntutan dan keperluan OKU untuk dibawa kepada pihak kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dan juga agensi-agensi yang berkaitan,” ujar Raphelson.

Gabungan OKU Sarawak terdiri daripada Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais), Pertubuhan Orang Cacat Sarawak (Pocs), Kuching Spinal Injury Association (Kusia) dan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak. — DayakDaily