Perkhidmatan tukang cuci ibu tunggal CARE Kuching boleh dicuba — Fatimah

Fatimah (duduk tengah) bersama ahli CARE Kuching yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya. Turut kelihatan adalah Khairunissa (duduk kanan).

KUCHING, 17 Mei: Penduduk bandaraya ini disarankan untuk mencuba perkhidmatan tukang cuci yang disediakan oleh Persatuan Prihatin Ibu Tunggal Bahagian Kuching (CARE Kuching) yang baru ditubuhkan.

Sokongan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan tersebut dapat membantu golongan ibu tunggal untuk menjana pendapatan dan hidup berdikari, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

“Ketika ini, tiga orang ahli CARE Kuching ada menyediakan perkhidmatan tukang cuci bergerak menggunakan motosikal. Saya sehubungan itu menggalakkan orang ramai di bandaraya ini menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya ketika menerima kunjungan hormat ahli CARE Kuching di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.


Fatimah mendedahkan seorang tukang cuci ibu tunggal dari CARE Kuching telah berkahwin pada usia 18 tahun dan kini mempunyai empat orang anak kecil.

“Kami berharap perkhidmatan tukang cuci secara kecilan yang dijalankan persatuan juga akan dapat diperkembangkan di masa hadapan bagi membantu lebih ramai ibu tunggal berdikari di bandaraya ini,” katanya.

Perkhidmatan terbabit mengenakan bayaran upah RM70 selama empat jam, di mana RM50 akan menjadi pendapatan kepada ibu tunggal.

Fatimah juga turut menempah perkhidmatan tukang cuci CARE Kuching terbabit bagi menjalankan kerja pembersihan satu premis baru tidak lama lagi, sambil memberi jaminan bahawa jabatan dan agensi kementeriannya akan memberi sokongan kepada persatuan itu.

Beliau menyifatkan CARE Kuching sebagai persatuan yang berbeza daripada persatuan ibu tunggal lain di negeri ini, kerana ahlinya yang seramai 131 setakat ini adalah campuran ibu tunggal dan bukan ibu tunggal yang ditubuhkan bagi membantu ibu tunggal di bandaraya ini.

Sementara itu, timbalan pengerusi CARE Kuching, Khairunissa Saleh, berkata persatuan terbabit didaftarkan pada 18 April lepas dan ahlinya terdiri dari ibu tunggal termasuk yang belum berkahwin tapi ada anak, yang sudah bercerai, suami sudah meninggal atau hilang dan ahli yang bukan ibu tunggal tetapi mahu membantu golongan itu.

“Perkhidmatan tukang cuci ahli ibu tunggal kami dimulakan sejurus persatuan didaftarkan dengan mengenakan bayaran upah sebanyak RM70 bagi empat jam dan ketika ini upah itu mampu memberikan pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan kepada setiap ibu tunggal,” katanya.

Beliau berkata ketika ini pihaknya bercadang mengambil lebih ramai ibu tunggal muda yang boleh bekerja menjadi tukang cuci kerana permintaan bagi perkhidmatan mereka di bandaraya Kuching setakat ini agak baik.

Katanya, persatuan mungkin perlu tambahan seramai 10 orang tukang cuci ibu tunggal dan mungkin lebih ramai, sekiranya permintaan bertambah di kalangan penduduk bandaraya ini.

Khairunissa berkata ibu tunggal yang berminat menyertai persatuan itu atau menjadi tukang cuci boleh menghubungi persatuan terbabit di laman Facebooknya.

Selain itu, beliau juga mendedahkan persatuan terbabit akan mengadakan acara Care Fiesta 2019, yang akan diadakan di Bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Padungan, di sini, pada 7 September depan. — DayakDaily