Perkhidmatan perbankan diperlukan di Maludam

Pasar Baharu Maludam

Oleh Chris Bishop

MALUDAM, 13 Okt: Pekan Maludam yang terletak lebih kurang 130km dari Bandaraya Kuching memerlukan perkhidmatan perbankan untuk kemudahan penduduk setempat.

Menurut seorang ahli perniagaan Kiing Sie Kai, Maludam berada di kedudukan di tengah-tengah antara Triso dan Pusa di mana kedua-dua kawasan tersebut tidak memiliki perkhidmatan perbankan.


Justeru katanya, Pekan Maludam berada di kedudukan strategik untuk menempatkan sebuah cawangan bank seperti Bank Rakyat, Agrobank atau Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Untuk mendapatkan kemudahan perbankan, penduduk terpaksa ke Sebuyau atau Saratok dan terpaksa melalui Feri Triso serta Feri Pusa selain menanggung kos pengangkutan yang tinggi.

“Selain bagi tujuan mengeluarkan wang, penduduk juga perlu untuk menyimpan wang hasil jualan tanaman dan tangkapan (nelayan) mereka.

“Untuk ke Sebuyau dan Saratok, ini amat membebankan mereka dan kadang-kadang mesin pengeluaran automatik (ATM) tidak berfungsi,” katanya ketika ditemui DayakDaily semalam.

Kiing Sie Kai

Tambah Kiing, Maludam yang turut memiliki sebuah kawasan taman Nnegara kedua terbesar di Sarawak dengan keluasan 432 kilometer persegi terkenal dengan hasil laut seperti ikan lomek, ikan terubok, udang kering, udang merah, ikan buntal dan ikan masin.

Selain itu, tambah Kiing, golongan peniaga di Triso, Maludam dan Pusa turut memerlukan perkhidmatan bank bagi memudahkan urusan perniagaan.

Katanya, banyak projek pembangunan sedang dilaksanakan di kawasan tersebut dan para peniaga memerlukan perkhidmatan bank untuk memudahkan urusan pembayaran gaji pekerja serta urusan lain.

Dengan wujudnya Pasar Baharu Maludam katanya, agensi perbankan diseru tampil untuk membuka cawangan dan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

“Mungkin di pasar lama adalah tidak sesuai untuk menubuhkan cawangan bank kerana ia adalah struktur kayu.

“Tetapi di pasar baharu dengan bangunan konkrit ia selamat bagi agensi perbankan menubuhkan cawangan,” ujar Kiing yang mengusahakan tanaman cili fertigasi dan kolam ikan serta udang di Maludam. — DayakDaily