Minuman keras, rokok bernilai RM1.157 juta dirampas

Ahsmon menunjukkan barang rampasan.

KUCHING, 13 Okt: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok disyaki tidak bercukai bernilai sekitar RM1.157 juta dalam tiga serbuan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak itu dijalankan di Jalan Canna, Jalan Tan Sri Datuk Amar Sim Kheng Hong dan Jalan Chan Bee Kiew.

Katanya, serbuan pada 26 September hingga 6 Oktober itu telah berjaya menemui sebanyak 865,440 batang rokok pelbagai jenama dan 3,682 kotak minuman keras pelbagai jenama.


“Modus operandi yang digunakan dalam kegiatan ini ialah menjadikan kedai serbaneka sebagai tempat menyimpan dan menjual barangan tidak bercukai bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Dedah beliau juga, siasatan mendapati kegiatan sindiket ini ialah menjadikan Kuching sebagai hab penyimpanan sementara bagi barang yang tidak bercukai ini.

“Bekalan dipercayai dibawa masuk ke Kuching dan kemudian akan diagihkan ke tempat-tempat yang lain,” katanya.

Ashmon berkata, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Selain itu, Ahsmon turut memberitahu sebanyak 13 operasi telah dijalankan sepanjang tahun ini dengan nilai barangan yang dirampas bernilai RM2.98 juta.

“Seramai 16 orang lelaki dan empat wanita terdiri dari 18 orang warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia lingkungan 20 ke 58 tahun telah ditangkap bersama barang rampasan tanpa cukai.

“Dua kes telah dituduh di Mahkamah Kuching manakala selebihnya masih dalam siasatan,” katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan ini bagi mengekang kemasukan barang yang tidak bercukai. — DayakDaily