Perkampungan Digital Sungai Asap manfaat 20,000 penduduk

Chukpai (enam kiri) dan Liwan (lapan kanan) merakamkan kenangan bersama selesai sesi taklimat.

KUCHING, 18 Feb: Inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap bakal memberi manfaat kepada 20,000 penduduk kampung di sekitarnya.

Menurut ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, ia melibatkan 15 buah rumah panjang, 2 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, klinik serta pejabat kerajaan.

Justeru kata Chukpai, pelaksanaan rangkaian terbuka di Sungai Asap yang mirip model rangkaian terbuka Sebauh perlu dipercepatkan.


Katanya, memang wujud penyambungan rangkaian Internet menerusi gentian optik di kawasan Belaga tetapi tidak memasuki kawasan Sungai Asap.

“Penyambungan talian tetap ke Sungai Asap amat penting sebagai usaha untuk mentranformasikan kawasan ini sebagai perkampungan digital.

“Pihak bank tidak dapat beroperasi di Sungai Asap jika tiada talian Internet tetap kerana bank memerlukan data raya untuk berurusan dengan pelanggan mereka dan kita tidak boleh selamanya bergantung kepada perkhidmatan bank bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat mengenai rangkaian telekomunikasi di Daerah Belaga di Pejabat Daerah Belaga pada Khamis lepas.

Taklimat yang disampaikan oleh Pengarah (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Cawangan Sarawak Ts. Scott Kueh Sui Yek turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Telekomunikasi merangkap ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang.

Tambah Chukpai, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju terhadap cadangan perlaksanaan projek rangkaian jalur lebar terbuka berkelajuan tinggi di Sungai Asap.

Malah katanya, Abang Johari turut mencadangkan agar projek perintis pendigitalan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di Sebauh dilakukan di Belaga dan Sungai Asap. — DayakDaily