Pergerakan antara zon kekal tidak dibenarkan sepanjang PKPB mulai 2-15 Mac

Pemantauan akan dilakukan secara harian bagi mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan orang ramai yang berisiko tinggi terdedah kepada penularan Covid-19. Gambar Fail

KUCHING, 28 Feb: Pergerakan antara zon kekal tidak dibenarkan di sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak berkuatkuasa 2 hingga 15 Mac 2021.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini pada 26 Februari lepas berkata, penguatkuasaan PKPB tersebut melibatkan 19 zon.

“Pergerakan antara zon adalah tidak dibenarkan kecuali bagi perkhidmatan perlu dan mendapat kelulusan pihak polis.


“Bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti kenderaan.

“Namun individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak,” kata JPBNS.

SOP terbaharu itu juga menetapkan bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan dan perkhidmatan perlu serta rantaian aktiviti ekonomi bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

Manakala bagi pergerakan kenderaan persendirian, jabatan kerajaan atau syarikat swasta bagi tujuan pergi dan balik dari tempat kerja atau menjalankan urusan rasmi kerajaan adalah bergantung kepada kapasiti tempat duduk kenderaan tersebut.

Tambah JPBNS, aktiviti perniagaan atau industri seperti pasar raya dan pusat beli belah dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan antara 6 pagi hingga 10 malam.

“Manakala restoran, kedai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera atau pusat penjaja, gerai makan tepi jalan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam dengan pematuhan kepada SOP sektor makanan.

“Restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi secara dine-in dengan penjarakan satu meter antara pelanggan mengikit saiz meja,” katanya. — DayakDaily