Empat PPS dibuka di Kuching menempatkan 266 mangsa banjir

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian melawat PPS Stapok.

KUCHING, 16 Feb: Seramai 266 mangsa banjir ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuching dan Bau setakat jam 8 malam ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata kesemua mangsa ditempatkan di tiga buah PPS di Kuching dan sebuah lagi di Bau.

Katanya, PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi menempatkan 54 orang, Dewan Masyarakat Stapok (145 orang), Dewan Serbaguna Taman Malihah (58 orang) dan Dewan Kampung Segong menempatkan seramai sembilan orang.


Keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS adalah seramai 282 orang termasuk satu lagi PPS di Balai Raya Kampung Assyakirin, Bintulu yang menempatkan seramai 16 orang mangsa bencana ribut sejak 18 Januari lalu.

Tambahnya, sebanyak 71 buah keluarga yang terjejas setakat ini, dan jumlah akan dikemaskini dari masa ke semasa. — DayakDaily