Penularan wabak Covid-19 semakin meningkat di Miri

Operasi ACD di Permai. Foto Fail

MIRI, 26 Mei: Kluster penularan Covid-19 menunjukkan peningkatan di daerah ini.

Menerusi kenyataan media hari ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri memaklumkan penambahan satu lagi kluster terbaru, iaitu Kluster Jalan Dato Permaisuri, menjadikan daerah ini (Miri) mempunyai sebanyak lapan kluster aktif, iaitu Kluster Abak Bon (237 kes), Kluster Sains Bakam (43 kes), Kluster Jalan Agama (182 kes), Kluster Air Padang (29 kes), Kluster Long Jegan (116 kes), Kluster Jalan Limbang (182 kes), Kluster Jalan Lilin (63 kes).

Kluster Jalan Dato Permaisuri, telah dilaporkan pada 25 Mei 2021 merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di sebuah rumah kediaman yang beralamat di Jalan Dato Permaisuri 2C, Miri.

Kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-34,172 yang merupakan seorang perempuan berumur 22 tahun yang telah dikesan hasil saringan bergejala.

Menurut JPBB Miri , kes indeks didapati telah mengadakan aktiviti sosial makan beramai-ramai yang melibatkan 11 orang yang terdiri daripada kes indeks, tiga ahli serumahnya dan tujuh rakan sosial mereka.
Aktiviti pengesanan aktif telah dijalankan di kalangan kontak rapat dan kontak sosial.

Setakat 26 Mei, sejumlah 176 individu telah disaring, di mana 33 dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 140 dikesan negatif, dan tiga masih menunggu keputusan ujian saringan.

Kesemua kes positif COVID-19 telah dirujuk ke hospital untuk rawatan dan pemantauan dan telah dimasukkan ke PKRC di daerah Miri. Kontak rapat yang lain telah dikuarantin di rumah masing-masing.

Sehubungan itu, JPBB Miri menyeru masyarakat Miri termasuk individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus kekal berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 sebagai norma baru dengan mengamalkan 3W (Wash, Wear, Warn) dan mengelakkan 3S (Elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).

Masyarakat dinasihatkan untuk berada di rumah dan mengelakkan sebarang pergerakan tanpa tujuan penting.

Elakkan perhimpunan sosial berkumpulan seperti aktiviti perayaan, aktiviti makan beramai-ramai (BBQ dsb), majlis sambutan, majlis pengebumian dan majlis perkahwinan.

Masyarakat disarankan untuk menghadkan pergaulan dengan orang lain (selain ahli keluarga yang tinggal dalam rumah yang sama) dan senantiasa mengamalkan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Kerjasama semua orang dalam usaha membendung COVID-19 amatlah dihargai.

JPBB Miri sekali lagi mengingatkan bagi mereka yang akan meraikan Hari Gawai yang akan datang, agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak selain jika ada sebarang upacara pengkebumian, perlulah mematuhi SOP dengan ketat iaitu hanya dibenarkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja. — DayakDaily