Nanta yakin Bahagian Kapit capai imuniti kelompok lebih cepat dengan 16,680 dos setiap minggu

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Jun: MP Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi yakin Bahagian Kapit boleh membentuk imuniti kelompok dengan lebih cepat dengan penghantaran 16,680 dos vaksin setiap minggu.

Katanya, pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada lawatan kerja beliau minggu lepas adalah berita baik kepada warga Kapit.


“Rancangan Kerajaan Sarawak untuk melakukan vaksinasi di kalangan rakyat di pelbagai stesen desa di Bahagian Kapit merupakan idea yang sangat praktikal dan efektif.

“Saya mendoakan yang terbaik buat semua pasukan yang terlibat dan bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan bagi menjayakan program ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Abang Johari turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS) yang berlangsung di Pekan Kapit.

Ujar beliau, majlis diadakan di Dataran Kapit dan dihadiri hanya 50 orang tetamu berkaitan sahaja dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

“Abang Johari prihatin terhadap keperluan rakyat terutama di kawasan luar bandar seperti di Daerah Kapit, Song, Bukit Mabong dan Belaga yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam situasi penularan wabak Covid-19.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini bertujuan mengekang penularan dan melindungi rakyat.

“Peruntukan yang disediakan dan sumbangan bekalan makanan yang disampaikan beberapa hari lalu sangat membantu bagi meringankan beban penduduk di Daerah Kapit yang terkesan,” katanya.

Pada lawatan kerja itu, Abang Johari telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk menaik taraf rumah mayat Hospital Kapit.

Selain itu, sejumlah RM4.5 juta juga telah diperuntukan bagi menaik taraf Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kapit.

“Usaha Kerajaan Negeri bagi membantu menaik taraf fasiliti di Hospital Kapit bukan sahaja dapat memberi kemudahan dan kebaikan kepada penduduk.

“Malah ia juga dapat melancarkan tugas barisan hadapan kesihatan, terutama dalam mendepani cabaran penularan wabak Covid-19 pada ketika ini,” ujar Nanta. — DayakDaily