Riot: Ketua kaum dan ahli JKKK berperanan penting kekang penularan Covid-19

Riot (kiri) bersama KK Rioi Lagit pada satu acara di Kampung Pichin pada Ahad (25 April, 2021)

KUCHING, 26 April: Ketua kaum dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berperanan penting bagi memastikan semua penduduk dilindungi daripada wabak Covid-19.

Menurut MP Serian Dato Sri Richard Riot Jaem dalam laporan UKAS, mereka perlu memaklumkan dengan segara kepada pihak polis dan pejabat daerah mengenai aktiviti yang berlaku di kampung masing-masing.

“Lebih-lebih lagi jika ada kes kematian di dalam kampung, semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab mereka agar prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi semasa dan selepas upacara pengkebumian,” katanya semasa program khas di Kampung Pichin semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur Jepun, Taiwan dan Korea Selatan menggesa semua penduduk kampung di kawasan Parlimen Serian agar lebih proaktif dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Berhubung cadangan pembukaan kuari di Gunung Sinmajau, Riot mahukan perkara tersebut disiasat terlebih dahulu.

Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan tiada masalah yang tercetus melibatkan penduduk kampung kelak. — DayakDaily