Sekitar 300-500 petugas kesihatan akan dihantar ke Sarawak bantu tangani Covid-19

Dr Adham(duduk) menandatangani buku lawatan pada lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Perpaduan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 April: Sekitar 300 hingga 500 petugas kesihatan dari negeri lain akan dihantar ke Sarawak dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 yang menunjukan peningkatan sejak Januari lepas.

Menteri Kesihatan Dato Sri Dr Adham Baba berkata, mobilisasi tersebut melibatkan pelbagai kategori seperti doktor, jururawat, pembantu kesihatan, pegawai teknologi makmal dan radiologi.

“Pada Januari sehingga kini, jumlah kes yang direkodkan di negeri ini menunjukan peningkatan dan perkara ini perlu kita selesaikan.

“Untuk itu, kesiapsiagaan perlu dilaksanakan di setiap kemudahan kesihatan, hospital dan pusat atau pejabat kesihatan bahagian serta daerah agar mampu untuk menangani apa jua kesan kemungkinan penularan yang tinggi.

“Kita akan menghantar tenaga kerja dari negeri-negeri lain ke Sarawak terutamanya para doktor, jururawat, pembantu perubatan, pegawai makmal dan lain-lain.

“Apabila kita membuat pengesanan kontak di kawasan pendalaman ataupun di kawasan dimana wabak tercetus, kita perlukan ramai kakitangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.

Menurut Dr Adham, pihak kementerian telah membuat perkiraan menerusi mesyuarat yang melihat kepada keadaan di semua hospital di Sarawak dan menilai semua pandangan pegawai kesihatan daerah tentang isu kekurangan kakitangan.

Katanya, kakitangan diperlukan untuk membuat ujian, pengesanan, isolasi dan rawatan dimana mobilisasi petugas di dalam negeri dengan mereka yang berada di zon hijau boleh membantu.

“Kita juga sedang menyusun, di mana dahulu kita pernah buat (mobilisasi) di Sabah semasa penularan kes meningkat di negeri itu.

“Sekarang di Sabah kes telah berkurangan maka kita boleh ambil balik petugas kesihatan ini untuk dihantar ke Sarawak dan dari negeri lain yang kesnya kurang akan dihantar ke sini,” ujar beliau.

Tambah Dr Adham, kadar nilai kebolehjangkitan(RT) di Sarawak kini telah meningkat kepada 1.1 yang bermakna setiap 10 orang boleh mengjangkiti 11 orang yang lain dan ia perlu dibendung dengan segera.

Justeru katanya, langkah pembendungan di Sarawak harus diperkuatkan dengan dengan memperketatkan penguatkuasaan di beberapa kawasan dimana kes-kes muncul.

“Kita ada kes daripada kluster komuniti, tempat kerja dan kluster import. Ini harus kita tangani dan kita juga melihat kepada varian baru terutamanya negeri ini ada perusahaan minyak dan gas dimana terdapat pengembara atau petugas dari negara luar.

“Ini melibatkan penguatkuasaan yang ketat setelah baru-baru ini berlaku kemerosotan terhadap pematuhan kepada SOP,” ujar beliau.

Turut serta pada lawatan itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily