Pengurus tapak projek membuat laporan palsu didenda RM500


Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Nov: Seorang pengurus tapak projek didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari selepas mengaku salah membuat laporan palsu kononnya disamun di tempat letak kereta di tepi sebuah restoran makan dan minuman ringan di Tanjong Lobang pada Jumaat lalu (20 November).

Tertuduh juga diperintah dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda berkenaan.


Arthur Anthony Jalin, 37 tahun, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Syafique Mohd Hilmie.

Tertuduh mengaku salah membuat laporan palsu mendakwa disamun oleh orang yang tidak dikenali kononnya cermin kereta syarikat yang dipandunya telah dipecah oleh orang yang tidak dikenali semasa diletakan bersebelahan sebuah premis berkenaan sekitar jam 2 petang.

Laporan palsu itu dibuat di Balai Polis Pusat Miri jam 2.57 petang pada hari yang sama.

Dalam laporan yang dibuat tertuduh, sebanyak RM11,000 wang tunai milik syarikat dan sebuah komputer riba jenis ASUS dilaporkan telah hilang selepas cermin depan kereta jenisnToyota Land Cruiser warna putih sebelah penumpang dipecahkan oleh individu tidak dikenali.

Duit tersebut adalah untuk pembayaran pendahuluan kepada pihak Sesco bagi pemasangan meter baru di tapak projek.

Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati cerita yang kononnya dirinya disamun hanya rekaan semata mata kerana tertuduh telah menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang judi atas taliannya berjumlah RM11,000.

Arthur didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan ini merupakan kesalahannya pertama selain mempunyai dua anak yang masih kecil masing-masing berusia empat dan lapan tahun dan isteri kini mengandung tiga bulan.

Tertuduh telah membayar denda tersebut. — DayakDaily