Pengorbanan ibu bapa mendorong dua pasangan kembar lulus universiti

Dari kiri: Graduan pasangan kembar, Tek Kuan, Yok Kuan, Siti Norsidah dan Siti Norasiah yang menerima ijazah mereka di Majlis Konvokesyen Unimas Ke-22 di kampus Unimas, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Okt 31: Walaupun hanya dilahirkan sebagai anak penoreh getah dan anak buruh kasar, dua pasangan kembar tidak menjadikan latar belakang keluarga mereka sebagai halangan melanjutkan pengajian ke universiti dan menjadi graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Pasangan kembar terbabit ialah Ching Yok Kuan dan adiknya Ching Tek Kuan, 24, dari Gemencheh, Negeri Sembilan dan pasangan kembar Siti Norsidah Junaha dan adiknya Siti Norasiah Junaha, 23, dari Lahad Datu, Sabah.

Mereka menerima Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Bioteknologi Sumber) disampaikan bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Majlis Konvokesyen Unimas Ke-22, di sini, hari ini.


“Ibubapa kami bekerja sebagai penoreh getah, tetapi bapa sudah lama meninggal. Jadi selama ini ibu kami, Tee Ah Luan, 61, yang melakukan pekerjaan tersebut bagi menyara kami berdua dari bangku sekolah sehingga ke Unimas,” menurut Yok Kuan dan Tek Kuan yang merupakan anak bongsu dari enam adik beradik.

Graduan pasangan kembar, Tek Kuan dan Yok Kuan mencium
ibu mereka Tee (tengah) dan disaksikan kakak mereka Ket Jiun (kiri) di Majlis Konvokesyen Ke-22 Unimas di kampus Unimas, Kota Samarahan.

Menurut pasangan kembar itu, purata ibu mereka akan mampu mendapat pendapatan RM1,000 sebulan dari pekerjaan tersebut yang tidak mencukupi bagi menyara pengajian mereka tetapi telah dibantu abang dan kakak yang sudah bekerja.

“Kami ada memohon memasuki beberapa universiti, tetapi Unimas yang ada menawarkan tempat kepada kami berdua malahan secara kebetulan dalam jurusan pengajian yang sama iaitu Bioteknologi Sumber, jadi kami tidak mahu menolaknya supaya dapat terus bersama,” kata mereka yang menghadiri majlis konvokesyen terbabit bersama ibu dan kakak mereka, Ket Jiun, 38.

Sehubungan itu, kedua mereka selepas ini berazam untuk mencari pekerjaan dengan ijazah yang sudah diperolehi dan membalas semula segala jasa ibu, kakak dan abang yang selama ini berkorban membiayai pengajian mereka.

Pasangan kembar Siti Norsidah dan adiknya Siti Norasiah, 23, pula mengakui bapa mereka Junaha Jainuddin, 58, sebelum ini hanya seorang buruh kasar sepenuh masa bagi membiayai persekolahan dan seterusnya pengajian mereka di universiti berkenaan.

Graduan pasangan kembar Siti Norsidah (kanan) dan Siti
Norasiah (kiri) bersama bapa mereka, Junaha Jainuddin dan ibu Samula Baranang, 49, di Majlis Konvokesyen Ke-22 Unimas di kampus Unimas, Kota Samarahan.

“Berikutan itu, kami berdua telah menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Unimas bagi mendapat banyak kemudahannya termasuk penginapan asrama,” kata mereka dan ini juga membantu mengurangkan membebankan bapa mereka.

Pasangan kembar terbabit berkata ketika ini bapa mereka sudah tidak lagi bekerja sebagai buruh kasar dan hanya bertani dengan mereka berdua sudah bekerja di sebuah kilang kelapa sawit dengan ijazah tersebut dan dapat membantu menyara keluarga. — DayakDaily