Penduduk terjejas banjir di Marudi diminta terus berwaspada

Kelihatan Norlila (dua dari kiri) bersama pegawai yang lain memantau situasi banjir di sebuah rumah panjang. Foto: Ukas

KUCHING, 8 Sept: Penduduk di beberapa kawasan di sepanjang Sungai Baram yang terjejas akibat banjir diminta terus berwaspada kerana paras air masih lagi tinggi.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), hasil tinjauan Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Marudi yang diketuai pengerusinya Norlila Ulis mendapati keadaan masih merbahaya.

“Sepanjang pemantauan, didapati keadaan banjir mula surut, tetapi keadaan masih lagi merbahaya disebabkan paras air masih tinggi.

“Keadaan di sini agak surut sedikit berbanding dengan sebelum ini (semalam), tetapi keadaan masih merbahaya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pemantauan di Kampung Kuala Tutoh semalam.

JPBD Marudi telah melakukan tinjauan di Kampung Benawa, Rh Mugang Tanjung Upar, Rh Vincent Tanjung Upar, Rh Jipun Sungai Gaong, Kampung Lubuk Tumau, Kampung Seberang Lubuk Nibong dan Kampung Lubuk Nibung Bazaar.

Dalam pada itu, Norlila menggesa penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Baram dan Sungai Tutoh untuk berhati-hati dengan sebarang kemungkinan dan menghubungi segera agensi keselamatan untuk bantuan kecemasan.

Banjir yang berlaku sejak tiga hari lepas telah mengakibatkan Pekan Marudi dinaiki air dan perkhidmatan feri juga ditangguhkan.

Paras air di Pekan Marudi masih lagi di paras 3.99 meter dan sangat merbahaya disebabkan air dari Hulu Sungai Baram melimpah ke Pekan Marudi. — DayakDaily