Penduduk Sri Aman, Mukah, disaran bersedia hadapi gangguan bekalan air – JBALB

Gambar laman Facebook JBALB Sarawak

KUCHING, 3 Jan: Seluruh kawasan Sri Aman akan mengalami gangguan bekalan air mulai hari ini.

Gangguan tersebut adalah disebabkan tekanan air yang rendah, disyaki berpunca dari paip pecah di kawasan Sri Aman, kata Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.

“Pihak kami berusaha untuk mencari paip pecah dan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di kawasan Sri Aman secepat mungkin,” menurut notis JBALB Bahagian Sri Aman yang disiarkan di laman Facebook JBALB Sarawak petang ini.


Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan pengguna di kawasan terbabit menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang gangguan itu yang belum dipastikan tempohnya.

Jabatan juga meminta pengguna memohon penghantaran air dari pihaknya jika menghadapi kesulitan mendapat bekalan air.

“Sekiranya para pengguna menjumpai paip pecah bolehlah terus berhubung dan memaklumkan pihak kami dengan kadar segera. Kerjasama dan keperihatinan para pengguna amatlah dihargai,” menurut keyataan tersebut.

Sementara itu, JBALB Sarawak juga memaklumkan esok (Jan 4) akan berlaku gangguan bekalan air di kawasan Mukah dari jam 8 malam dan dianggarkan akan berterusan sehingga jam 5 pagi Sabtu.

Dalam notis JBALB Mukah petang ini, kawasan yang mungkin terjejas ialah kawasan pasar Mukah, dari Loji Perawatan Air Lama Pam Stesen, Jalan Haji Fauzi, Jalan Oya Lama, Jalan Desa Merpati, Jalan Desa Tanjung dan Jalan Petanak ke Taman Yung Seng.

Gangguan terbabit adalah bagi memberi laluan kepada kerja baikpulih saluran paip bersaiz 160 HDPE dan pemasangan “sluice valve” di kawasan hadapan kuarters kakitangan Hospital Bahagian Mukah.

Selain itu, JBALB Sarawak juga melaporkan kerja baik pulih kebocoran paip di kawasan Kampung Berjumpa, Sundar Lawas, telah selesai dilakukan hari ini.

Kebocoran paip bersaiz 10 inci terbabit telah menyebabkan gangguan bekalan air di Daerah Kecil Sundar sejak dari 11.35 pagi tadi (Jan 3).

JBALB Bahagian Sri Aman boleh dihubungi di talian 083-323240/082-323242. — DayakDaily