Pembinaan masjid baharu Kg Semarang bermula hujung Disember

Dr Abdul Rahman Junaidi (kiri) bersama Ketua Kampung Bintawa Batu Meseli Drahman melihat projek RTP iaitu pembinaan gelangang sepak takraw di kampung itu.

KUCHING, 18 Nov: Projek Pembinaan Masjid Kampung Semarang di Pusa, Betong akan ditender pada 25 November ini bagi membolehkan proses pembinaan masjid berkenaan dapat dilaksanakan pada pengujung tahun ini.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata keperluan membina masjid baharu di kampung berkenaan disebabkan susulan masjid lama kampung tersebut iaitu Masjid Darul Ihsan telah rosak dan roboh akibat dibadai ombak kuat.

“Kelulusan bangunan untuk masjid ini telah pun diperolehi pada bulan Julai 2020 manakala kelulusan daripada Jabatan Tanah Dan Survei untuk kawasan tapak masjid telahpun diperolehi pada 10 November lepas beberapa hari sebelum kejadian tersebut berlaku.

“Lanjutan daripada itu mengikut jadual yang telah disediakan, tendernya akan dibuka pada penghujung November manakala kerja pembinaan pada penghujung Disember, maknanya dalam tempoh sebulan ini dan bukan depan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek RTP daripada agensi pelaksana kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bintawa Batu di sini hari ini.

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

Beliau berkata, Majlis Islam Sarawak (MIS) memaklum kos pembinaan masjid ditapak seluas lebih dua hektar itu adalah sebanyak RM2.5 juta.

Katanya, pembinaan masjid tersebut yang lengkap dengan kemudahan diperlukan akan mengambil masa selama 18 bulan dan dijangka siap pada Mei 2022.

“Buat sementara waktu, memandangkan masjid mereka akan diroboh kerana tidak selamat digunakan maka mereka (penduduk Kampung Semarang) akan menggunakan surau di kampung bersebelahan dan di surau itu akan disediakan tempat sementara untuk solat Jumaat,” katanya.

Dr Abdul Rahman merakam gambar bersama anak muda Kg Bintawa Batu selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek RTP daripada agensi pelaksana kepada JKKK Kampung Bintawa Batu, Kuching.

Menurut Dr Abdul Rahman, tapak bagi pembinaan masjid baharu itu secara dasarnya telahpun diluluskan kerajaan Sarawak pada 2016 namum berlaku kelewatan dalam proses pembinaan masjid akibat perubahan daripada tapak asal seperti yang dicadangkan oleh penduduk kampung kepada tapak baharu ini.

“Mereka mencadangkan tapak di sebelah tepian laut juga tapi rasanya tidak sesuai jadi sekarang ini tapaknya lebih ke darat sedikit dan pembinaan masjid ini akan menggunakan tapak baharu ini,”jelasnya. — DayakDaily