Covid-19: 660 kes baharu, 630 pulih dan 4 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Nov: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 660 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 656 kes tempatan dan empat kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 50,390 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 12,814 kes,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 322 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan pada hari ini melibatkan tiga kes warganegara dan satu kes bukan warganegara.

“Daripada jumlah itu, dua kes kematian dilaporkan di Sabah dan dua kes di Perak. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 630 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 37,254 kes atau 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 103 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 41 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat lapan kluster baharu dilaporkan hari ini termasuk Kluster Sabaru, Tomher dan Garden di Sabah, Kluster Putra-18 (Putrajaya), dan Kluster Murni (Kuala Lumpur).

Tiga kluster lain ialah Kluster Seri Pasir di Pulau Pinang, Kluster Besi Demak di Sarawak dan Kluster Parit Kassan di Johor/Melaka. — DayakDaily